Asia

Komander Hamas antara 65 orang terkorban

Oleh Agensi

Gaza: Hamas mengesahkan komandernya, Bassem Issa terkorban dalam serangan udara oleh tentera Israel semalam, bersama beberapa pejuang kanan kumpulan itu.

Sumber tempatan yang dilapor Al Jazeera memaklumkan, jet pejuang Israel mengebom kawasan milik kumpulan bersenjata Palestin, selain bangunan keselamatan dan polis.

Di kejiranan Tel al-Hawa di sini, wanita mengandung, Reema Telbani dan anaknya terbunuh selepas kediaman mereka diserang Israel.

Menteri Kesihatan Gaza berkata, jumlah kematian akibat serangan sejak Isnin lalu mencecah 65 orang termasuk 16 kanak-kanak, manakala sekurang-kurangnya 365 orang cedera.

Sementara tentera Isreal mendakwa kira-kira 1,500 roket dilepaskan dari Gaza ke pelbagai lokasi didudukinya dan pasukan itu menggandakan kawalan dekat timur wilayah.

Enam penduduk Israel terbunuh akibat roket disasarkan Hamas, termasuk tenteranya.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, komander briged Gaza City antara 15 pejuang kanan Hamas yang maut dalam serangan semalam.

Situasi tegang di Gaza berlarutan sejak Isnin lalu, dengan Israel dan Hamas saling berbalas serangan, menyebabkan ramai terkorban dan cedera.

Disiarkan pada: May 13, 2021 @ 8:59am
d