Asia

Israel bedil bangunan tempatkan media antarabangsa

Oleh Agensi

Gaza: Bangunan yang menempatkan wartawan antarabangsa termasuk kakitangan Al Jazeera musnah dibedil tentera Israel hari ini.

Setakat ini, belum ada maklumat mengenai kehilangan nyawa.

Berdasarkan video yang dipaparkan Al Jazeera secara langsung, bangunan al-Jalaa setinggi 11 tingkat yang turut menempatkan kediaman dan pejabat, hancur selepas dibom tentera Israel.

Bangunan berkenaan turut menempatkan kakitangan agensi berita The Associated Press (AP).

Wartawan Al Jazeera, Safwat al-Kahlout, yang melaporkan dari Gaza berkata, seorang penduduk menerima panggilan daripada tentera Israel memberi amaran bahawa serangan akan berlaku dalam tempoh sejam.

Al-Kahlout yang ketika itu berada dalam bangunan berkenaan berkata, dia dan rakan sekerja mula mencapai seberapa banyak barang yang ada daripada barangan peribadi hinggalah kelengkapan pejabat, terutama kamera.

Selepas tiga serangan ke atas bangunan itu dan menyaksikannya runtuh, al-Kahlout berkata, dia bertugas di bangunan berkenaan selama 11 tahun dan kerap melakukan lintas langsung dari bahagian bumbung bangunan itu.

"Saya sudah membuat liputan pelbagai acara dari bangunan ini," katanya.

Setakat ini, tidak diketahui mengapa bangunan itu menjadi sasaran Israel.

"Sekarang, tidak ada sesiapa dapat memahami perasaan mereka yang rumahnya hancur akibat serangan udara seperti itu.

"Sangat sukar untuk bangun hari ini dan kemudian menyedari bahawa pejabat anda sudah tidak ada lagi di sana dengan semua pengalaman kerja, kenangan yang anda lalui turut hancur bersamanya," katanya.

Di Gaza, sekurang-kurangnya 140 individu maut, termasuk 39 kanak-kanak dan 22 wanita sejak serangan Israel bermula Isnin lalu.

Disiarkan pada: May 15, 2021 @ 9:55pm
d