Asia

UK sambut baik gencatan senjata Israel-Hamas

Oleh AFP

London: Britain menyambut baik gencatan senjata diumumkan Israel dan pejuang Hamas dengan menggesa semua pihak berusaha menghentikan keganasan yang berlaku di wilayah berkenaan.

"Semua pihak mesti berusaha untuk memastikan gencatan senjata ini bertahan lama dan mengakhiri keganasan yang tidak dapat diterima dan meragut nyawa orang awam.

"Britain tetap menyokong semua usaha ke arah keamanan," kata Setiausaha Kementerian Luar Negeri United Kingdom (UK), Dominic Raab dalam ciapan Twitter.

Terdahulu, Israel dan pejuang Hamas, mengumumkan gencatan senjata pada Jumaat selepas pertempuran selama 11 hari yang menyaksikan serangan berterusan di Semenanjung Gaza.

Gencatan senjata itu bermula jam 2 pagi waktu tempatan.

Serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza menyebabkan 232 rakyat Palestin maut, termasuk 65 kanak-kanak, manakala 1,900 lagi cedera.

Selain itu, ia memusnahkan beberapa bangunan termasuk yang menempatkan pejabat agensi media antarabangsa Al-Jazeera dan Associated Press.

Serangan udara itu turut menyebabkan satu-satunya makmal Covid-19 di Semenanjung Gaza, wilayah yang dikenakan sekatan oleh Israel, tidak dapat beroperasi.

Menurut pihak berkuasa Hamas, konflik itu menyebabkan 120,000 penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan.

Di pihak Israel, serangan roket Hamas menyebabkan 12 orang maut termasuk dua kanak-kanak dan seorang askarnya selain seorang rakyat India dan dua warga Thailand, menurut polis.

Berita berkaitan:

  • Israel dan Hamas umum gencatan senjata
  • Disiarkan pada: May 21, 2021 @ 9:03am
    d