Asia

Penduduk Palestin raikan gencatan senjata

Oleh Agensi

Gaza: Selepas 11 hari dalam ketakutan, penduduk Palestin meraikan gencatan senjata antara pejuang Hamas dan Israel seawal 2 pagi tadi.

Middle East Eye melaporkan, penduduk di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur menyambut pengumuman berkenaan dengan tembakan bunga api, demonstrasi aman dan menzahirkan sambutan Aidilfitri yang lewat akibat pertempuran sejak 10 Mei lalu.

Bunyi tembakan senjata api dan bunga api kedengaran di wilayah itu dengan masjid menggunakan pembesar suara menyiarkan lagu perayaan sebagai meraikan pengakhiran derita keganasan terburuk dalam satu dekad.

Sementara itu, pemimpin kedua kanan Hamas di Semenanjung Gaza, Khalil al-Hayya menzahirkan kemenangan ke atas konflik dengan Israel di hadapan ribuan penduduk di Gaza yang meraikan pengumuman gencatan senjata berkenaan.

"Ini adalah kemenangan 'sangat menggembirakan'.

"Kami berjanji akan membangunkan semula rumah yang musnah akibat serangan udara Israel," katanya.

Terdahulu, Israel dan pejuang Hamas, mengumumkan gencatan senjata pada Jumaat selepas pertempuran selama 11 hari yang menyaksikan serangan berterusan di Semenanjung Gaza.

Gencatan senjata itu bermula jam 2 pagi waktu tempatan.

Serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza menyebabkan 232 rakyat Palestin maut, termasuk 65 kanak-kanak, manakala 1,900 lagi cedera.

Selain itu, ia memusnahkan beberapa bangunan termasuk yang menempatkan pejabat agensi media antarabangsa Al-Jazeera dan Associated Press.

Serangan udara itu turut menyebabkan satu-satunya makmal Covid-19 di Semenanjung Gaza, wilayah yang dikenakan sekatan oleh Israel, tidak dapat beroperasi.

Menurut pihak berkuasa Hamas, konflik itu menyebabkan 120,000 penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan.

Di pihak Israel, serangan roket Hamas menyebabkan 12 orang maut termasuk dua kanak-kanak dan seorang askarnya selain seorang rakyat India dan dua warga Thailand, menurut polis.

Berita berkaitan:

  • AS sifatkan gencatan senjata 'peluang' untuk keamanan
  • UK sambut baik gencatan senjata Israel-Hamas
  • Israel dan Hamas umum gencatan senjata
  • Disiarkan pada: May 21, 2021 @ 10:00am
    d