Asia

Lelaki mengaku bakal Imam Mahdi lakukan serangan di Masjidil Haram

Oleh Agensi

Makkah: Seorang pengawal keselamatan di Arab Saudi digelar sebagai wira selepas menggagalkan cubaan seorang lelaki yang mahu menyerang imam di Masjidil Haram, di sini, Jumaat lalu.

Babak dramatik itu dapat disaksikan kerana ia berlaku ketika program siaran langsung di televisyen.

Siasatan polis terhadap individu itu yang ditahan kemudian mendedahkan penyerang itu mendakwa dirinya sebagai 'bakal imam Mahdi'.

Ketika kejadian, tindakan pantas pengawal keselamatan Mohammed Al-Zahrani menghalang penyerang berkenaan.

Dia kemudian dengan dibantu pengawal keselamatan lain dapat menahan suspek.

Susulan kejadian, Al-Zahrani digelar sebagai wira oleh orang ramai yang berterima kasih atas usahanya.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki yang tiba-tiba meluru ke arah khatib yang sedang menyampaikan khutbah solat Jumaat di Masjidil Haram.

Berdasarkan rakaman video, lelaki itu yang memakai ihram dan memegang objek seperti kayu kecil, berjaya ditahan oleh anggota pasukan keselamatan.

Siasatan kejadian itu masih diteruskan, lapor Arab News.

Disiarkan pada: May 23, 2021 @ 9:55am
d