Asia

Jepun buka dua pusat vaksinasi besar-besaran

Oleh AFP

Tokyo: Jepun membuka pusat vaksinasi besar-besaran pertama dalam usaha mempercepatkan program inokulasi Covid-19 menjelang penganjuran Sukan Olimpik Tokyo yang berbaki dua bulan.

Dua pusat tentera di Tokyo dan Osaka akan melakukan ribuan suntikan setiap hari dimulakan dengan warga tua bagi memerangi gelombang keempat pandemik itu.

Hanya dua peratus daripada 125 juta populasi penduduk divaksinasi setakat ini, berbanding 40 peratus di Amerika Syarikat (AS) dan 15 peratus di Perancis.

Berikutan proses vaksinasi yang agak perlahan, ramai mengkritik kerajaan kerana pelbagai kerenah birokrasi dan peraturan perubatan yang ketat.

Individu terawal mendapat suntikan di pusat vaksinasi di Tokyo berkata, mereka teruja meneruskan kehidupan masing-masing.

"Hari yang indah. Saya dapat berehat dengan tenang sekarang. Sudah lebih setahun saya berdepan ketakutan dan hidup tertekan," kata Hideo Ishikawa, 73, kepada pemberita.

Sementara itu, pensyarah kejuruteraan, Munemitsu Watanabe, 71, turut berasa lega tetapi berpandangan proses vaksinasi sepatutnya perlu dipercepatkan.

"Jika program ini dibuat lebih awal dan 80 atau 90 peratus penduduk sudah menerima suntikan sebelum Olimpik, pastinya kejohanan sukan ini akan berjalan lebih lancar," katanya.

Pusat vaksinasi Tokyo dan Osaka masing-masing menyasarkan 10,000 dan 5,000 suntikan sehari.

Kedua-dua pusat vaksinasi ini menggunakan dua dos suntikan vaksin Moderna yang disetujui digunakan di Jepun bersama AstraZeneca pada Jumaat lalu.

Disiarkan pada: May 25, 2021 @ 6:31am
d