Asia

Buang mayat isteri hamil dalam tangki septik

Oleh Agensi

Pekanbaru: Kehilangan seorang wanita yang hamil di Kampar, Riau akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam lubang tangki septik pada Rabu.

Siti Amidah yang hamil tujuh bulan dilaporkan hilang bulan lalu dipercayai dibunuh suaminya.

Portal Kompas melaporkan, mayat mangsa ditemui selepas penduduk curiga dengan bau busuk dari lubang itu.

Penduduk terkejut apabila menemui mayat mangsa di dalam lubang berkenaan sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Tapung Kompol Sumarno berkata, kejadian didalangi suami mangsa yang mengupah individu untuk menggali lubang berkenaan.

Katanya, sebaik lubang digali, suspek menyuruh pekerja kontrak itu membeli makanan.

"Namun sebaik kembali, pekerja berkenaan melihat lubang berkenaan sudah ditimbus suspek.

"Pekerja kontrak itu tidak mencurigai sebarang kejadian pelik kemudian diminta pulang oleh suspek," katanya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan terhadap motif suspek membunuh isteri dan bayinya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pemungut kelapa sawit kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: June 9, 2021 @ 3:58pm
d