Asia

Gajah 'jenguk' dapur cari makanan

Oleh AFP

Bangkok: Dikunjungi gajah liar bukanlah perkara asing buat keluarga ini.

"Dia datang untuk masak lagi," tulis Kittichai Boodchan dalam hantaran di Facebooknya selepas bahagian dapur kediamannya 'ditinjau' seekor gajah.

Kejadian yang berlaku pada malam Ahad lalu menyaksikan haiwan berkenaan menjengah di bahagian dapur dipercayai untuk mencari makanan.

Ia juga dirakam mengangkat beberapa beg plastik mengandungi cecair dan memasukkannya ke dalam mulut.

Kittichai dan isteri menetap berhampiran taman negara di barat Thailand, juga berhampiran tasik yang menjadi lokasi kegemaran gajah liar untuk mandi ketika merayau di dalam hutan.

Katanya, haiwan itu pernah memusnahkan dinding dapurnya pada Mei lalu, menyebabkannya membiarkan bahagian dapur itu kekal terbuka, seperti tingkap pada lorong pandu lalu.

Kittichai berkata, peraturan utama ketika berdepan kunjungan 'tetamu' tidak diduga itu adalah jangan memberikan sebarang makanan.

"Jika ia tidak dapat makanan, ia akan berlalu pergi. Saya sudah biasa dengan keadaan ini dan tidak bimbang," katanya.

Gajah liar adalah pemandangan biasa di kawasan sekitar taman negara di Thailand dengan beberapa petani melaporkan tanaman mereka khususnya buah-buahan dan jagung musnah dimakan haiwan berkenaan.

Disiarkan pada: June 22, 2021 @ 6:52pm
d