Asia

Gurauan maut

Oleh Agensi

Jakarta: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut selepas tidak sengaja ditembak dengan senapang angin oleh rakannya yang berusia 13 tahun.

Kejadian berlaku di Sikakap, Mentawai, Sumatera Barat pada Selasa lalu.

Kompas melaporkan mangsa maut selepas ditembak di bahagian dada.

Jurucakap polis di Sikakap Yanuar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan rakannya bermain kejar-mengejar.

Ketika bermain, tiba-tiba remaja berusia 13 tahun itu mengambil senapang angin yang tergantung di bilik orang tuanya.

Selepas itu, dia kemudian bergurau dengan mengacukan senapang angin itu ke dada mangsa.

Remaja itu tidak mengetahui senjata itu berisi peluru dan tidak sengaja menarik picu sehingga ia meledak dan peluru terkena dada mangsa.

"Mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi disahkan meninggal dunia dalam perjalanan," kata Yanuar.

Katanya, polis masih lagi melakukan siasatan berhubung insiden menyedihkan itu.

"Ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak mereka daripada benda bahaya supaya kejadian ini tidak berulang.

"Bagi ibu bapa yang mempunyai senjata api, sentiasa pantau anak masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2021 @ 6:31am
d