Asia

Maut selepas 70 hari bertarung nyawa

Oleh Agensi

Taipei: Seorang budak yang sebelum ini parah selepas dijadikan 'contoh' ketika latihan kelas seni mempertahankan diri pada April lalu, sudah meninggal dunia.

Ketika kejadian, dia 'dibelasah' sebanyak 27 kali oleh rakannya sehingga mengalami pendarahan otak.

Mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu koma dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia.

Media Taiwan melaporkan, budak lelaki berusia tujuh tahun itu bertarung nyawa selama 70 hari di hospital.

Jurulatihnya yang berusia 60 tahun kemudian ditahan polis atas kesalahan melakukan serangan fizikal sehingga cedera.

Taipei Times melaporkan, jurulatih itu dikecam kerana menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa dalam latihan itu.

Dia bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan selepas polis selesai menjalankan siasatan.

Mangsa sebelum itu ke kelas judo berkenaan dan bapanya yang kebetulan menemaninya sempat merakam aksi ngeri itu.

Menerusi video itu, mangsa dilihat beberapa kali menjadi 'bahan' untuk belasahan rakannya.

Bapa mangsa juga sempat mendengar jeritan anaknya menahan kesakitan, namun jurulatihnya tetap bertegas untuk dia meneruskan latihan.

Disiarkan pada: July 1, 2021 @ 6:31am
d