Asia

Pusat kuarantin hentikan operasi akibat huru-hara politik Myanmar

Oleh AFP

Yangon: Sukarelawan yang memakai sut hazmat menurunkan pengusung dari trak pikap di pinggir Yangon dan membawa mayat mangsa Covid-19 ke krematorium.

Tidak ada sebarang upacara pengebumian tradisional dijalankan tatkala Myanmar berdepan gelombang baru dengan ribuan kakitangan kesihatan meneruskan mogok menentang junta.

Jawatankuasa pentadbiran negeri melaporkan 4,300 kes baru semalam, berbanding kurang daripada 50 kes pada awal Mei.

Tun Khine, seorang peniaga menjadi anggota sukarelawan tempatan sejak sebelum pandemik melanda.

Tahun lalu, mereka memberikan perkhidmatan teksi secara percuma kepada mereka yang dijangkiti Covid-19, dengan membawa mereka ke hospital atau pusat kuarantin.

Semalam, kumpulan berkenaan membawa tujuh mayat - seorang disahkan dijangkiti Covid-19 manakala, enam lagi disyaki meninggal dunia kerana virus itu.

Tun Khine dan sukarelawan lain membawa kesemua mangsa dalam kotak besar seperti keranda ke krematorium.

Perjalanan mereka berakhir di krematorium berkenaan, di mana tidak ada ahli keluarga mangsa yang turut serta.

"Sudah tentu kami takut dijangkiti (Covid-19). Namun, ketakutan paling utama adalah melihat rakyat dijangkiti dan merisikokan nyawa mereka," katanya.

Menurutnya, kumpulan sukarelawan berkenaan juga sukar mendapatkan lokasi untuk menempatkan mereka yang dijangkiti Covid-19.

"Lebih ramai akan mati jika kami berhenti melakukan kerja ini," katanya.

Banyak pusat kuarantin menghentikan operasi dalam huru-hara politik negara di mana banyak protes besar-besaran berlangsung di Yangon dan bandar berhampiran.

Pegawai atasan kesihatan termasuk ketua program vaksinasi Myanmar ditahan junta.

Hanya sekitar 1.75 juta daripada keseluruhan 54 juta penduduk sudah menerima vaksin, lapor media tempatan.

Disiarkan pada: July 11, 2021 @ 8:51pm
d