Asia

Anak Jokowi positif Covid-19

Oleh Agensi

Jakarta: Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming Raka disahkan positif Covid-19.

Beliau yang juga anak sulung Presiden Indonesia, Joko Widodo memaklumkan perkara berkenaan pada sidang media secara maya hari ini.

"Betul saya positif (Covid-19)," kata Gibran.

Menurutnya, melalui ujian antigen rutin yang dilakukan sebelum ini, beliau disahkan negatif namun, hasil ujian PCR, keputusannya positif Covid-19.

"Ketika mendapat keputusan negatif hasil ujian antigen, saya tidak percaya dan meminta rakan untuk membantu jalankan ujian PCR. Ternyata hasilnya positif," katanya.

Beliau ketika ini sedang menjalani kuarantin kendiri dan tidak menunjukkan sebarang gejala.

Isteri dan dua anaknya didapati negatif.

Gibran berkata, beliau kerap mengunjungi tempat awam yang mencatatkan kes Covid-19 bermula dari hospital, tempat kuarantin hinggalah pusat pemberian vaksin.

Katanya, walaupun perlu menjalani pengasingan beliau tetap melaksanakan tugasan harian melalui platform maya.

Sementara itu, Indonesia mencatatkan 54,517 kes baru Covid-19 dengan 991 kematian, hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan virus berkenaan mencecah angka 2.67 juta dengan 69,210 kematian.

Disiarkan pada: July 14, 2021 @ 9:20pm
d