Asia

Kena culik pada usia dua tahun

Oleh Agensi

Beijing: Seorang lelaki yang diculik pada 1997 ketika berusia dua tahun di depan rumahnya di wilayah Shandong, akhirnya disatukan kembali dengan keluarganya.

BBC melaporkan, dua orang turut ditangkap atas tuduhan menculik dan menjual Guo Xinzhen.

Polis mengenal pasti anak lelaki kepada Guo Gangtan itu melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA), kata Kementerian Keselamatan Awam China.

Laporan itu mengatakan polis menangkap seorang lelaki bernama Hu dan seorang wanita bernama Tang di wilayah Shanxi di utara China.

Ketika kejadian, suspek dipercayai menculik kanak-kanak itu dengan niat untuk menjualnya.

Melihat anak itu bermain di luar rumah, Tang terus membawanya lari.

Hu dan Tang menjual anak itu ke wilayah Henan, tempat dia masih tinggal.

Selepas kehilangan anaknya, Guo Gangtan aktif mencari anaknya, sejak 24 tahun lalu.

Menurut BBC, dia menunggang motosikalnya sejauh kira-kira 500,000 kilometer dan mengembara ke lebih 20 wilayah di China untuk mencari Xinzhen.

Akibatnya, Gangtan pernah patah tulang dalam kemalangan, dirompak dan 10 motosikalnya sudah rosak dalam misi pencarian itu.

Dalam pada itu, dua beranak itu dibanjiri ucapan tahniah daripada pengguna media sosial di China

Difahamkan, masalah penculikan kanak-kanak berleluasa di China, sejak bertahun-tahun lamanya.

Menurut The Atlantic, Jabatan Luar Amerika Syarikat menganggarkan sekitar 20,000 kanak-kanak diculik di China setiap tahun.

Disiarkan pada: July 15, 2021 @ 7:30am
d