Asia

Letupan bom di pasar Iraq, hampir 30 orang maut

Oleh AFP

Baghdad: Militan Daish mengaku bertanggungjawab atas letupan di pasar sesak di ibu negara Iraq yang membunuh hampir 30 orang, menjelang sambutan Aidiladha.

Dalam mesej menerusi Telegram, kumpulan itu berkata, pengebom berani mati bernama Abu Hamza al-Iraqi meletupkan bom dipakainya di Sadr City, di timur pinggir Baghdad.

Ia mendakwa serangan itu membunuh lebih 30 orang dan mencederakan 35 yang lain.

Dalam siri serangan yang paling buruk di Baghdad sejak beberapa tahun lalu, anggota badan mangsa berselerakan di pasar yang sibuk itu, menurut jurugambar AFP.

Dalam pada itu, pasukan perubatan berkata, insiden mencederakan 50 individu.

Presiden Iraq, Barham Salih menyifatkan pengeboman di pinggir kota Sadr yang majoriti penduduk Syiah itu satu perbuatan keji serta mengucapkan takziah kepada mangsa.

"Mereka menyasar orang awam kita di Sadr City pada malam Aidiladha. Mereka tidak membiarkan orang bergembira, biarpun untuk seketika," kata Salih menerusi Twitter.

Menurut pasukan perubatan, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak, antara yang terkorban, dengan antara 28 hingga 30 orang meninggal dunia,

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan selepas letupan di mana mangsa yang berlumuran darah dan orang ramai menjerit ketakutan.

Letupan itu sangat kuat sehingga merosakkan bumbung beberapa gerai peniaga.

"Serangan keganasan menggunakan objek peranti letupan (IED) buatan tempatan di Pasar Woheilat di Sadr City, di Baghdad timur menyebabkan beberapa mangsa meninggal dunia, manakala yang lain cedera," kata Kementerian Dalam Negeri Iraq dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhemi mengadakan pertemuan tergempar dengan ketua ketenteraan dan agensi keselamatannya.

Disiarkan pada: July 20, 2021 @ 8:57am
d