Asia

Rahsia ambulans rosak

Oleh Agensi

Semarang: Sepasukan pegawai kastam Indonesia menggagalkan cubaan menyeludup rokok haram dengan ambulans rosak di Gerbang Tol Adiwerna dekat daerah Tegal, Jawa Tengah, Sabtu lalu.

Portal Kompas melaporkan ratusan ribu batang rokok tanpa pelekat cukai ditemukan oleh pegawai bertugas di dalam ambulans yang diangkut menaiki sebuah trak.

Ambulans itu disyaki terbabit dalam kemalangan ketika di Sampang, Madura pada Rabu lalu.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu trak terbabit membawa 14 karton mengandungi 224,000 batang rokok.

Rokok pelbagai jenama itu bernilai anggaran 228.5 juta rupiah (kira-kira RM66,631).

Ketua Siasatan dan Risikan Pejabat Wilayah Kastam dan Cukai Jawa Tengah dan Daerah Istimewa Jogjakarta (DIY), Moch Arif Setijo Nugroho memaklumkan serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang awam.

"Pengadu memaklumkan ada trak membawa rokok haram dan akan melalui wilayah Jawa Tengah," kata Arif dalam keterangan tertulis pada Ahad.

Susulan itu, pihaknya membentuk dua pasukan gabungan dari Pejabat Wilayah Kastam dan Cukai Jateng DIY dan Tegal.

Pasukan daripada Pejabat Wilayah Kastam dan Cukai Jateng DIY melakukan pemantauan di Plaza Tol Semarang-Pemalang.

Sementara itu, pasukan Pejabat Wilayah Kastam dan Cukai Tegal pula melakukan pemantauan di Plaza Tol Pemalang-Brebes.

"Pasukan berjaya menjejaki trak sasaran pada jam 1.15 tengah hari pada Sabtu dan mengekori kenderaan berkenaan.

"Bertempat di Gerbang Tol Adiwerna, Tegal, Jawa Tengah, pasukan menahan trak berkenaan sebelum menjalankan pemeriksaan," katanya.

Menurut Arif, suspek terbabit sengaja mengaburi pegawai bertugas dengan membawa bekalan rokok menaiki ambulans.

Cubaan menyeludup rokok haram itu pula dilakukan dalam sekatan pergerakan kerana sindiket itu berasa lebih selamat.

"Mulanya pegawai bertugas agak ragu-ragu kerana kenderaan itu adalah ambulans," katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2021 @ 6:01am
d