Asia

Tiga roket dilancarkan ke lapangan terbang Kandahar

Oleh AFP

Kandahar: Sekurang-kurangnya tiga roket disasarkan ke lapangan terbang Kandahar di selatan Afghanistan semalam, ketika Taliban terus melakukan serangan di seluruh negara.

"Malam tadi, tiga roket dilancarkan ke lapangan terbang dan dua daripadanya menghentam landasan ... Oleh kerana itu, semua penerbangan dari lapangan terbang dibatalkan," kata ketua lapangan terbang Massoud Pashtun kepada AFP.

Pashtun mengatakan kerja memperbaiki landasan sedang berjalan dan berharap lapangan terbang akan beroperasi pada Ahad.

Seorang pegawai di pihak berkuasa penerbangan awam di Kabul mengesahkan serangan roket itu.

Taliban, selama berminggu-minggu, melancarkan serangan di pinggir Kandahar menimbulkan kerisauan pemberontak dalam merebut ibu kota wilayah itu.

Pangkalan udara Kandahar sangat penting untuk menyediakan logistik dan sokongan udara yang diperlukan untuk mencegah militan daripada menguasai kota terbesar kedua di Afghanistan.

Serangan di lapangan terbang berlaku ketika Taliban semakin hampir untuk menguasai dua ibu kota wilayah lain - Herat di barat dan Lashkar Gah di selatan.

Kebanyakan wilayah yang ditawan Taliban ketika peringkat akhir penarikan tentera Amerika Syarikat, dengan sebahagian besarnya berlaku di kawasan luar bandar yang kurang penduduknya.

Tetapi dalam beberapa minggu terakhir, mereka meningkatkan tekanan di beberapa ibu negeri wilayah dan merampas kawasan sempadan utama.

Kejatuhan pusat bandar besar menjadikan serangan mereka sudah sampai ke tahap seterusnya yang menimbulkan kebimbangan bahawa tentera tidak mampu melawan.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 3:19pm
d