Asia

Peta terbesar daripada penutup botol

Oleh Agensi

Jeddah: Seorang pengetua sekolah di Jeddah, Khulood Al-Fadli diiktiraf Guinness World Records apabila menghasilkan peta terbesar di dunia menggunakan penutup botol plastik.

Pengetua Green Leaves Playgroup itu memecahkan rekod tahun lalu dengan mencipta peta dunia seluas 250 meter persegi menggunakan 350,000 penutup botol plastik.

Rekod sebelumnya adalah milik Caroline Chaptini, yang membuat mozek sabit sebesar 196,94 meter persegi di Miziara, Lebanon.

"Saya tidak percaya, saya benar-benar merasakan kerja saya terbayar.

"Imej ini tidak penting kerana ukuran menentukan sama ada saya berjaya memecahkan rekod dan Guinness World Records mempunyai begitu banyak syarat untuk memecahkan rekod atau membuat rekod baharu," katanya kepada Arab News.

Katanya, memenuhi syarat memecahkan rekod terbukti sangat sukar kerana keadaan cuaca tidak menentu yang mempengaruhi mozek luarnya.

"Saya melalui hari sukar apabila tiupan angin menerbangkan semua penutup air sehingga projek ditunda seminggu.

"Tetapi dengan tekad, konsisten dan bantuan sukarelawan terutama keluarga dan suami, saya meneruskan projek ini tanpa putus asa," katanya.

Dia berkata, sukarelawan sasarannya adalah kanak-kanak kerana mereka generasi masa depan.

Al-Fadli mendapat idea melakukan projek itu selepas tindak balas murid sebaik dia memperkenalkan topik pemanasan global dan kitar semula kepada mereka di sekolah.

Katanya, seorang murid bertanya, apakah bererti bumi akan mati.

Dia mengatakan setiap hari semua orang perlu berubah dan langkah penting menyelamatkan bumi adalah mengumpulkan plastik dan melakukan sesuatu yang bermakna untuk bumi.

Dengan bantuan murid, keluarga dan rakannya serta semakin banyak penderma penutup botol plastik, berita itu terus tersebar dalam 40 hari bekerja, dan penduduk dari seluruh Jeddah, Makkah, Madinah dan Taif datang menderma. -Agensi

Dia mengatakan penderma sangat ingin melihat hasilnya, malah sukarelawan termuda teruja melihat hasil akhirnya.

"Mereka kagum dengan keindahan dan saiz peta itu, mereka berjanji menyelamatkan plastik dan menggunakannya semula atau menyumbangkannya kepada saya demi bumi," katanya. -Agensi

Al-Fadli mengatakan mencipta seni daripada barang yang dapat dikitar semula adalah pengalaman yang berharga.

"Sejak saya kecil, saya suka melihat peta. Saya tidak tahu mengapa tetapi rasanya seperti saya terbang. Melihat peta besar seperti mimpi," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2021 @ 7:02am
d