Asia

Penerbit BTS muncul pekerja paling mahal dibayar

Oleh AFP

Seoul: Penerbit di belakang lagu hit kumpulan popular BTS muncul pekerja paling mahal dibayar di Korea Selatan pada separuh pertama tahun ini, mengenepikan beberapa tokoh korporat terkaya di negara berkenaan.

Kumpulan berkenaan mencapai kemuncak populariti melalui lagu 'Dynamite' yang berjaya menduduki tangga pertama carta Billboard Hot 100 tahun lalu, menjadikan ia kumpulan Korea Selatan pertama mengungguli carta Amerika Syarikat (AS) itu.

Kejayaan BTS juga menyumbang kepada ekonomi Korea Selatan dengan pendapatan mencecah bilion.

Tahun lalu, syarikat rakaman mereka, HYBE berjaya disenaraikan di pasaran saham berprofil tinggi.

Kang Hyo-won, ketua penerbit untuk beberapa lagu hit BTS termasuk 'Blood Sweat & Tears', 'DNA' dan 'Idol', menjana lebih 40 bilion won (kira-kira RM145 juta) dalam tempoh Januari hingga Julai lalu.

Ia menjadikan Kang, 37, yang juga dikenali sebagai Pdogg, muncul kakitangan paling mahal dibayar dalam mana-mana syarikat yang disenarai di Korea Selatan bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

Dia menerima gaji sekitar 38 juta won (kira-kira RM138,000), namun Kang juga memperoleh 39.9 bilion (kira-kira RM144 juta) won daripada pegangan saham dan 111 juta won (kira-kira RM402,000) insentif, kata syarikatnya.

Di kedudukan kedua adalah Chung Mong-koo, Pengerusi Kehormat Hyundai Motor Group yang memperoleh 30.2 bilion won (kira-kira RM109 juta), sebahagian besarnya daripada pendapatan Hyundai Mobis, cabang perkhidmatan penyelenggaraan dan alat ganti Hyundai.

Dua lagi eksekutif HYBE iaitu ketua pegawai eksekutif, Yoon Suk-joon dan pengarah urusan, Kim Shin-gyu masing-masing berada di kedudukan ketiga dan keempat.

Disiarkan pada: August 18, 2021 @ 6:48pm
d