Asia

Taliban beri amaran jika AS lanjut tarikh akhir berundur

Oleh Agensi

Kabul: Taliban tidak bersetuju dengan lanjutan misi evakuasi dari Afghanistan dan memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) akan kesannya jika dilanjutkan melebihi tarikh akhir.

Al-Jazeera melaporkan, langkah itu adalah isyarat 'memanjangkan penjajahan' dan 'garis merah', kata Suhail Shaheen, anggota delegasi Taliban di Doha, ibu negara Qatar, pada Isnin.

Presiden AS Joe Biden dijangka memutuskan segera hari ini sama ada melanjutkan lagi tarikh akhir ditetapkan iaitu 31 Ogos atau sebaliknya untuk membawa keluar pesawat keselamatan AS dan sekutunya.

Seorang pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengesahkan sekurang-kurangnya 20 individu maut di dalam dan sekitar lapangan terbang sejak seminggu lalu.

Insiden itu terjadi ketika cubaan melarikan diri dari Afghanistan dengan pesawat selepas Taliban menawan ibu negara itu.

Seorang pengawal keselamatan Afghanistan terbunuh dalam tembakan antara lelaki bersenjata yang tidak dikenal pasti identitinya.

Bagaimanapun, lelaki itu disyaki adalah anggota pasukan Afghanistan di pintu utara lapangan terbang Kabul, kata tentera Jerman.

Sementara itu, tiga lagi individu cedera dalam pertempuran senjata pada pagi Isnin.

Pertempuran itu turut membabitkan pasukan Jerman dan AS

Ia berdasarkan kenyataan tentera Jerman di Twitter.

Disiarkan pada: August 24, 2021 @ 9:49am
d