Asia

Dibayar untuk 'buang hajat'

Oleh Agensi

Seoul: Siapa sangka kemudahan tandas yang menjadi tempat pembuangan najis memberi pulangan iaitu wang digital kepada penuntut sebuah universiti di Korea Selatan.

The Sun melaporkan, penuntut yang menggunakan satu tandas khas boleh mendapat 10 Ggool (sejenis mata wang digital) sehari.

Nilainya cukup untuk mendapatkan kopi, pisang, mi segera, buah atau wang itu boleh disimpan bagi membeli buku di kampus universiti.

Tandas mesra alam itu dinamakan BeeVi dan ia direka oleh Cho Jae-weon, seorang profesor kejuruteraan bandar dan persekitaran dari Institut Sains dan Teknologi Nasional Ulsan (UNIST).

Tandas terbabit dihubungkan ke makmal yang mengambil bahan buangan itu untuk ditukarkan menjadi tenaga dalam bentuk biogas.

Ia menggunakan pam khas untuk membawa najis manusia ke tangki bawah tanah. Pam vakum digunakan untuk mengurangkan sisa air.

Selepas berada di dalam tangki, mikroorganisma menguraikan sisa bahan buangan dan mengubahnya menjadi metana iaitu sejenis gas yang tidak berwarna, tidak berbau dan mudah terbakar.

Gas ini kemudian digunakan sebagai bahan bakar untuk mendidihkan air dan dapur memasak di dalam bangunan.

"Jika kita berfikir di luar kotak, najis ini memiliki nilai berharga untuk membuat tenaga dan baja kata Jae-weon.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 6:30am
d