Asia

Beli kereta guna syiling

Oleh Agensi

Beijing: Bukan sesuatu yang menghairankan jika seseorang membeli kenderaan secara tunai.

Bagaimanapun, lain pula kisah bagi kakitangan sebuah premis jualan kereta di China apabila berdepan seorang pelanggan yang mahu membayar menggunakan hanya duit syiling.

World of Buzz melaporkan pelanggan dimaksudkan adalah seorang lelaki dari Zhoukou di wilayah Henan, China yang membeli sebuah kereta berharga 51,000 yuan (kira-kira RM33,163).

Namun, lelaki berkenaan membayar sepenuhnya dengan duit syiling.

Chen, kakitangan di premis jualan kereta berkata, pembeli itu bekerja dalam bidang perusahaan tepung.

Dia datang ke premis jualan dengan membawa 10 beg berisi duit syiling bagi membeli kereta untuk anaknya.

Disebabkan itu, Chen meminta bantuan lebih 20 kakitangan lain untuk mengira duit syiling satu persatu dan usaha itu mengambil masa lebih dari tiga jam.

Chen mengakui itu kali pertama berurusan dengan pelanggan yang membuat pembayaran cara berkenaan.

Kisah itu tular hingga mendapat pelbagai maklum balas daripada netizen yang rata-ratanya terkejut.

Ada yang mencadangkan kakitangan terbabit supaya menggunakan kaunter duit syiling.

"Kedai ini sangat bagus. Mereka sanggup mengiranya. Saya tidak mahu," komen seorang netizen.

"Bank ada mesin yang boleh mengira duit syiling. Lebih senang," tulis seorang lagi netizen.

"Selepas mengira duit syiling, mereka pergi ke bank untuk menyimpan. Kakitangan bank harus mengiranya semula," tulis netizen lain.

Disiarkan pada: August 27, 2021 @ 6:30am
d