Asia

Kes Covid-19 di Asia Tenggara meningkat

Oleh Agensi

Hanoi: Kes jangkitan Covid-19 dan kematian berkaitan virus berkenaan di Asia Tenggara meningkat dua hari berturut-turut.

Asean mencatatkan 81,459 kes baharu semalam iaitu lebih tinggi berbanding 79,055 yang dilaporkan kelmarin, manakala kematian turut melonjak kepada 1,809 kes berbanding 1,731 kes kelmarin.

Kes kumulatif di wilayah berkenaan melepasi 10.3 juta jangkitan dengan kadar kematian setakat ini mencecah 228,885 kes.

Indonesia melaporkan 7,797 kes baharu dan 574 kematian semalam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu meningkat kepada 4.12 juta jangkitan serta 134,930 kematian.

Kerajaan Indonesia menyasarkan peningkatan kadar vaksinasi kepada 2.3 juta dos sehari pada bulan ini, berbanding dua juta dos setiap hari yang direkodkan bulan lalu, selari usaha mencapai imuniti kelompok.

Sementara itu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, memberi amaran bahawa negara terbabit mungkin berdepan 'perang panjang' menentang Covid-19 dan tidak boleh hanya bergantung kepada perintah berkurung atau kuarantin semata-mata.

Negara itu akan terus mempergiatkan saringan, kawalan membendung penyakit dan pemberian vaksin kepada seramai mungkin, demi memastikan penularan jangkitan dapat ditangani.

Menurut Kementerian Kesihatan Vietnam, hanya 2.9 peratus daripada keseluruhan penduduk negara itu sudah menerima suntikan vaksin manakala kadar kematian semasa iaitu 2.5 peratus adalah lebih tinggi berbanding kadar global 2.1 peratus.

Di Myanmar, kadar jangkitan Covid-19 meningkat kepada 409,509 kes selepas 3,410 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Myanmar semalam.

Menurutnya, 93 kematian dilaporkan, sekali gus meningkatkan angka korban kepada 15,693 kes.

Sementara itu, Thailand akan memulakan suntikan penggalak vaksin Covid-19 kepada tiga juta penduduk yang sudah divaksin, seawal hujung bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, suntikan tambahan itu akan diberikan kepada mereka yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Sinovac, sekurang-kurangnya tiga bulan lalu.

"Kami akan memberikan vaksin AstraZeneca Covid-19 sebagai suntikan penggalak manakala lima juta warga Thailand dalam kumpulan usia 12 hingga 18 tahun akan diberi vaksin mulai bulan depan.

"Kumpulan ini akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech yang dijadualkan tiba pada Oktober," katanya kepada pemberita.

Setakat ini, Thailand telah memberikan 34.29 juta dos vaksin termasuk 597,598 dos sebagai suntikan ketiga.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, Thailand melaporkan 14,653 kes jangkitan baharu dan 271 kematian, menjadikan jumlah jangkitan 1.25 juta dan 12,374 kematian sejak wabak itu dikesan pada Januari tahun lalu.

Disiarkan pada: September 4, 2021 @ 6:04pm
d