Asia

Budak hilang terselamat dengan minum air lumpur [METROTV]

Oleh Agensi

Sydney: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Australia ditemukan selamat selepas hilang dari rumahnya selama tiga hari.

Aj Elfalak, yang keluar bermain di anak sungai berhampiran rumahnya dikesan oleh helikopter polis.

Ketika ditemui, pasukan mencari melihat kelibat kanak-kanak itu, minum air berlumpur.

Daily Star melaporkan, kanak-kanak itu hilang dari rumah keluarganya di kawasan luar bandar di New South Wales itu, Australia, pada 3 September lalu.

Rakan dan keluarga pada mulanya mencari di kawasan sekitar rumah, tetapi gagal, sebelum melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Rakaman diambil dari helikopter menunjukkan budak itu sedang duduk di anak sungai cetek yang terletak hanya 500 meter dari rumahnya.

Ketika itu, dia dilihat meminum air berlumpur.

Kanak-kanak itu kemudian dihantar ke rumah keluarganya.

Ibu kanak-kanak itu, Kelly, pengsan selepas pasukan kecemasan memberitahu mereka sudah menemui anaknya.

Apa yang mengejutkan, budak itu ditemukan dengan hanya terdapat luka pada kaki, gigitan semut dan ruam kerana lampin pakai buang dipakainya, menurut Pasukan Operasi Khas, Gerry Pyke.

Superintendan Tracy Chapman percaya, sumber air di mana kanak-kanak itu didapati bermain adalah penyebab yang memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk terus hidup.

"Pakar mengatakan jika (budak itu) memiliki akses ke air, dia akan dapat bertahan dalam jangka waktu lama, daripada masalah dehidrasi.

"Dan jelas, mangsa menjumpai air dan dengan jelas meminumnya," katanya.

Ketika anggota penyelamat pertama menemukan mangsa, dia melihat kanak-kanak itu melutut di sungai.

"Anggota keselamatan meletakkan tangannya di bahu kanak-kanak ini dan dia berpaling ke arah kami dan tersenyum lebar.

"Senyum yang tidak akan dilupakan pasukan penyelamat," kata ketua penyelamat Simon Merrick.

Disiarkan pada: September 9, 2021 @ 7:15am
d