Asia

Tragedi niat murni

Oleh Agensi

Bangkok: Seorang lelaki maut selepas diserang gajah ketika cuba memberi mamalia itu makanan dalam kejadian di Pak Chong, Thailand.

Difahamkan Rachan Theerapittayatrakul memberi mamalia itu makan dengan jarak dekat sehingga membahayakan dirinya.

Bangkok Post melaporkan mangsa yang mulanya sedang memandu pikapnya terserempak dengan seekor gajah bernama Cherry.

Menurut laporan itu, Rachan kemudian menghentikan kenderaannya itu untuk melihat Cherry.

Rachan kemudian menghampiri gajah berkenaan kerana mahu memberi haiwan itu makan beberapa batang tebu.

Namun niat murninya itu menyebabkan gajah berkenaan berasa terancam sebelum menyerangnya.

Video serangan haiwan itu tular di laman sosial negara berkenaan.

Rakaman video itu menunjukkan Rachan dilibas dengan belalai gajah berusia 28 tahun itu selama dua minit.

Rachan juga dililit dan dibaling ke udara sebelum gajah itu melibas kembali menggunakan belalai.

Sementara itu, pemilik Cherry, Peng Yimran terkejut dengan tindakan haiwan peliharaannya itu.

Katanya, haiwan berkenaan sebelum ini tidak agresif sejak dijaganya.

"Setiap pagi saya akan bawa Cherry untuk bertemu pelancong dan haiwan ini tidak agresif. Ketika kejadian, dia mengikat Cherry pada sebatang pokok sementara mencari rumput untuk diberikan kepadanya," katanya.

"Dia kemudian terkejut apabila melihat ramai orang berkumpul mengelilingi Cherry dan tidak menyangka haiwan peliharaannya itu mengamuk," katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2021 @ 7:00am
d