Asia

Anggota trafik bela 100 anak angkat

Oleh Agensi

Jakarta: Anggota polis trafik Madiun, Jawa Timur, Indonesia mengambil 100 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19 sebagai anak angkat.

Portal Kompas melaporkan inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban dan memulihkan semangat anak yatim piatu berkenaan.

"Ini sebahagian program Polis Daerah Jatim yang mewajibkan setiap anggota mengambil seorang anak angkat.

"Buat masa ini, ada 90 anggota polis trafik dalam cawangan jadi ada di antara mereka mengambil lebih seorang anak angkat," kata Ketua Polis Trafik Madiun, Dwi Jatmiko.

Menurut Dwi, program anak angkat itu tidak sekadar menuntut anggota memberi wang belanja saja.

Sebaliknya, setiap anggota polis trafik bertanggungjawab memberi motivasi kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Selain menjadikan anak yatim piatu mangsa Covid-19 sebagai anak angkat, pasukan polis trafik Madiun turut mengadakan aktiviti pemulihan trauma bagi memberi keceriaan dengan mengajak 100 anak angkat yatim piatu mengelilingi bandar menaiki bas pelancong milik kerajaan Madiun.

Disiarkan pada: September 19, 2021 @ 7:01am
d