Asia

Ali Kalora mati ditembak

Oleh AFP

Makassar: Pemimpin jaringan kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan militan Daesh, di Indonesia, terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan, Sabtu lalu.

Polis mengesahkan, Ali Kalora, ketua Mujahidin Indonesia Timur (MIT), ditembak mati di hutan di pulau Sulawesi, bersama-sama dengan seorang lagi dikenali sebagai Jaka Ramadhan.

Susulan itu, polis masih memburu empat lagi ahli militan MIT.

"Kami akan terus mencari hingga mendapatkannya," kata Ketua Polis Wilayah Sulawesi Tengah, Rudy Sufahriadi.

Insiden berlaku dua bulan selepas pihak berkuasa menembak dua individu disyaki ahli kumpulan itu di daerah sama di Parigi Moutong, berhampiran kawasan panas ekstremis di daerah Poso.

Dikelaskan sebagai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat, MIT adalah antara puluhan kumpulan radikal di seluruh kepulauan Asia Tenggara yang berikrar setia kepada Daesh.

Selepas bersembunyi di hutan Sulawesi selama bertahun-tahun, hanya beberapa ahli yang tinggal dalam rangkaian itu.

Kumpulan itu dituduh merancang beberapa serangan membabitkan kematian dengan yang terbaharu adalah pembunuhan empat petani dan seorang daripadanya dilaporkan dipenggal di sebuah desa terpencil pada bulan Mei.

Kalora mengambil alih kepemimpinan MIT selepas pelampau paling dikehendaki negara itu, Santoso, ditembak mati oleh tentera pada 2016.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 10:20am
d