Asia

Covid-19: Indonesia rekod kes baharu terendah sejak Ogos 2020

Oleh Agensi

Jakarta: Indonesia merekodkan 1,932 kes baharu Covid-19, iaitu angka terendah sejak Ogos tahun lalu.

Memetik portal Channel News Asia, data berkenaan dikeluarkan pasukan petugas Covid-19 negara itu.

Kerajaan Indonesia dilaporkan sudah melonggarkan sekatan berhubung Covid-19 di Pulau Jawa dan Bali.

Menteri Kanan, Luhut Pandjaitan berkata, Indonesia yang pernah menjadi pusat penularan Covid-19 Asia, merekodkan hampir 4.2 juta jumlah kes jangkitan dan lebih 140,000 kematian.

Katanya, kes baharu menunjukkan penurunan 98 peratus berbanding kemuncak kes pada Julai.

Kadar peratusan ujian positif di bawah empat peratus pada bulan ini iaitu di bawah paras 5 peratus disyorkan Pertubuhan Kesi0hatan Sedunia (WHO) bagi menentukan wabak terkawal.

Namun, beliau berkata peraturan kuarantin terutama di pintu masuk negara akan diperketatkan kerana masih ada risiko gelombang jangkitan baharu.

"Salah satu risikonya ialah dari luar negara kerana kes di negara jiran kita masih tinggi.

"Kita tidak mahu mengurangkan kawalan kita terhadap varian baharu," katanya dalam taklimat media secara maya.

Minggu lalu, Luhut dilaporkan berkata, kerajaan mungkin mempertimbangkan kebenaran pelancong asing melawat Bali mulai Oktober ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 21, 2021 @ 9:46am
    d