Asia

Pengasuh lelaki didakwa dengan 194 pertuduhan

Oleh Agensi

Sydney: Seorang pengasuh di Australia menghadapi 194 pertuduhan berkaitan kesalahan seksual membabitkan belasan kanak-kanak, termasuk seorang daripadanya berumur lapan bulan.

Jareth Thomas Harries-Markham, 23, pertama kali didakwa pada Ogos lalu dengan lebih daripada puluhan kesalahan termasuk mengiklankan khidmat seks dalam talian.

Isnin lalu, Polis Australia Barat mendedahkan tertuduh berdepan 194 pertuduhan.

"Lelaki itu didakwa mengiklankan perkhidmatannya melalui perkhidmatan mengasuh anak dalam talian," kata polis dalam satu kenyataan memetik portal news.com.au.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tambahan itu antara Julai tahun lalu dan Ogos lalu.

Ia ketika Harries-Markham mengasuh anak kepada seorang pengadu yang berusia antara lapan bulan dan sembilan tahun.

Sebelum ini polis berkata, ketika siasatan di rumah Harries-Markham di Bennett Springs dilakukan, mereka turut merampas bahan mengeksploitasi kanak-kanak serta beberapa gel serta senjata.

Harries-Markham menghadapi tuduhan termasuk memiliki bahan eksploitasi dan seksual terhadap kanak-kanak.

Selain itu, dia berdepan tuduhan merakam dan berurusan dengan golongan itu secara tidak sopan serta menggalakkan seorang kanak-kanak melakukan tingkah laku seksual.

Tertuduh hadir di Mahkamah Majistret Perth pada Isnin dan dijadualkan tampil pada prosiding berikutnya pada 18 Oktober depan.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 7:15am
d