Asia

Israel musnahkan kawasan kubur untuk bina taman

Oleh Agensi

Baitulmaqdis: Israel memusnahkan sebuah tanah perkuburan Islam berhampiran Masjid Al-Aqsa di timur Baitulmaqdis, di mana jenazah pejuang Palestin yang mati syahid turut disemadikan.

Beberapa kubur di Tanah Perkuburan Al-Yusufiye didapati sudah dimusnahkan dengan menggunakan jentera berat.

Menurut laporan agensi berita Anadolu, penduduk Palestin memaklumkan sejumlah tulang ditemukan ketika operasi memusnahkan kawasan tanah perkuburan itu.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Perlindungan Tanah Perkuburan Islam, Ahmed al-Dajani berkata, mahkamah Israel memberi kebenaran kepada Direktorat Arkeologi untuk melakukan kerja-kerja di tapak berhampiran tanah perkuburan itu.

Katanya, antara kubur yang dimusnahkan adalah tempat persemadian penduduk Islam yang terkorban dalam konflik antara tahun 1948 dan 1967.

Beliau menegaskan Israel akan berdepan tindakan undang-undang sebagai reaksi balas terhadap perbuatan memusnahkan kubur berkenaan.

Menurut Ahmed, Israel merancang untuk membina sebuah taman berhampiran tanah perkuburan itu.

Tanah Perkuburan Al-Yusufiye yang terletak bersebelahan tembok mengelilingi kota lama adalah satu daripada tanah perkuburan Islam tertua di Baitulmaqdis.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Baitulmaqdis cuba memusnahkan tangga bersejarah menuju ke kota lama dan Masjid Al-Aqsa, namun, langkah itu dihalang oleh penduduk Palestin.

Sementara itu, The New Arab melaporkan, Pihak Berkuasa Alam Israel memasukkan kawsan perkuburan berkenaan dalam pelan lebih besar untuk membangunkan taman tema Toratic.

Seorang wartawan di Baitulmaqdis, Ayman Qawariq berkata, tanah perkuburan itu menjadi sasaran Israel sejak beberapa tahun lalu.

"Pihak berkuasa Israel merancang untuk memusnahkan apa juga kesan berkaitan Arab dan Islam di bandar ini," katanya.

"Ketegangan di bandar mula reda sejak Mei lalu selepas penangguhan pengusiran keluarga Palestin di Sheikh Jarrah.

"Namun, ia mula meletus semula terutama selepas mahkamah Israel membenarkan penganut Yahudi bersembahyang secara senyap di pekarangan Masjid al-Aqsa," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 5:31pm
d