Asia

Tahan staf hospital culik, seludup bayi baru lahir

Oleh Agensi

Algiers: Seorang kakitangan hospital di Algeria ditahan kerana menculik bayi baru lahir dan menyeludupnya keluar ke Tunisia untuk diperdagangkan di negara itu.

Menurut akhbar Al Nahar yang dilapor Gulf News, Hakim Mahkamah, Sidi Mohamed mengarahkan wanita itu ditahan selepas terdapat bukti dia melakukan kegiatan berkenaan.

Akhbar itu melaporkan suspek yang berkhidmat di Hospital Mustafa Pasha, pernah melakukan kegiatan sama sebelum ini bagi memperoleh sejumlah wang lumayan.

Ia bukan kes pertama kakitangan hospital terbabit kes pemerdagangan bayi.

Dua tahun lalu, mahkamah jenayah Algiers menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang doktor kerana menculik bayi yang dilahirkan ibu tunggal dan menjualnya untuk dijadikan anak angkat di Perancis.

Tertuduh, Khelifa Hanouti yang didakwa menyeludup keluar kanak-kanak itu dengan bantuan notari awam turut didenda sejuta dinar (RM30,129.35).

Sementara enam rakyat Perancis yang terbabit kes itu dipenjara 10 tahun dan denda 20,000 euro (RM96,366.70) setiap seorang, manakala notari yang mengeluarkan dokumen dipenjara lima tahun dan denda 10,000 euro (RM48,183.35).

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 7:01am
d