Asia

Rela anak didera agar dapat nikah

Oleh Agensi

Jakarta: Disebabkan bimbang tidak akan dinikahi kekasih hati, seorang wanita dari Kota Batu, Jawa Timur, Indonesia sanggup berdiam diri daripada membela nasib anak perempuannya yang didera lelaki itu.

Kanak-kanak malang berkenaan berusia dua tahun lima bulan didera dengan pelbagai cara termasuk dicucuh puntung rokok dan disimbah air panas.

Portal Kompas melaporkan polis menahan lelaki terbabit yang berusia 25 tahun dan akan didakwa mengikut undang-undang berkaitan perlindungan kanak-kanak.

Ketua Polis Batu, Nyoman Yogi Hermawan dalam sidang media pada Rabu dilapor berkata, suspek tinggal di rumah kekasihnya berusia 19 tahun dan mangsa sejak Ogos lalu hingga awal bulan ini.

"Ibu mangsa dan suspek tinggal bersama kerana merancang untuk berkahwin dalam waktu terdekat.

"Suspek disyaki melakukan penderaan itu sejak tinggal di rumah berkenaan dan ibu mangsa enggan melaporkannya kepada polis kerana bimbang perkahwinan mereka dibatalkan," katanya.

Menurut Yogi, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek melakukan penderaan kerana faktor ekonomi yang mana dia menganggap mangsa sebagai beban berikutan bukan darah dagingnya.

Disiarkan pada: October 29, 2021 @ 6:10am
d