Asia

Kota motosikal kini ada khidmat tren

Oleh AFP

Hanoi: Bandar ini yang mempunyai lebih lima juta motosikal akan membuka laluan kereta api bandar pertamanya sebagai inisiatif pihak berkuasa dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran yang sudah lama melanda ibu negara Vietnam itu.

Selepas bertahun projek itu ditangguhkan hingga kos pembinaannya meningkat dua kali ganda, pengangkutan kereta api berpangkalan dari stesen Cat Linh, berhampiran dengan pusat bandar kini tersedia dan akan memulakan perjalanan sejauh 13 kilometer ke arah timur yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

"Saya cuba menaikinya kerana ingin tahu.

"Saya sangat gembira dapat menaikinya selepas sekian lama ditangguhkan," kata Nguyen Thi Thu kepada AFP di dalam gerabak kereta api buatan China itu,

Penumpang lain datang awal untuk bergambar di hadapan kereta api baharu itu.

Ibu negara yang mempunyai sembilan juta orang itu terkenal di seluruh dunia kerana motosikal yang padat memenuhi jalan di bandarnya dan ia membahayakan pejalan kaki yang cuba menyeberang lalu lintas.

Polis melaporkan jumlah motosikal di jalan raya melonjak daripada dua juta pada 2008 kepada 5.7 juta pada tahun lalu.

Bilangan kereta juga meningkat dalam tempoh yang sama, daripada 185,000 kepada 700,000.

Penduduk sering menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya dengan sebahagian individu memilih menaiki bas yang juga satu-satunya pilihan pengangkutan awam yang tersedia sehingga kini.

Trafik yang teruk juga menjadi punca utama pencemaran udara di ibu negara, menurut jabatan perlindungan alam sekitar Hanoi.

Bandar ini kerap merekodkan tahap Indeks Kualiti Udara (AQI) tidak sihat semasa musim sejuk.

Pegawai kementerian pengangkutan Vu Hong Son menegaskan bahawa kereta api akan menangani banyak isu itu.

"Ia akan membantu mengelakkan kesesakan lalu lintas, mengehadkan kenderaan persendirian, mengurangkan pencemaran alam sekitar dan menyumbang kepada perubahan pergerakan dalam bandar", katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2021 @ 6:01am
d