Asia

Penyerang masjid buat rayu hukuman penjara

Oleh Agensi

Wellington: Penyerang masjid Christchurch mahu merayu hukuman penjara sepanjang hayatnya kerana mendakwa pengakuan bersalah dibuat ketika dia berada dalam keadaan tertekan, menurut peguamnya pada Isnin.

Brenton Tarrant, 31, yang mengakui dirinya sebagai pelampau kulit putih sebelum ini mengaku bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cuba membunuh dan satu pertuduhan keganasan, pada tahun lalu.

Dia dihukum penjara sepanjang hayat tanpa parol, yang menyaksikan pertama kali hukuman itu dijatuhkan kepada mana-mana pesalah di New Zealand.

Ketika itu, Tarrant tidak mengemukakan pembelaan tetapi peguamnya, Tony Ellis berkata, lelaki Australia itu mempersoalkan keputusannya yang mengaku salah.

Ellis berkata, Tarrant memberitahu bahawa pengakuan bersalah itu dibuat ketika dalam keadaan tertekan kerana dia mengalami layanan yang teruk ketika dalam tahanan.

"Dia memutuskan cara mudah adalah untuk mengaku salah," kata Ellis kepada Radio New Zealand.

Ellis dilaporkan mengambil alih tugas sebagai peguam bela kepada Tarrant menjelang satu inkues mengenai insiden serangan masjid pada Mac 2019 itu di sebuah Mahkamah Koroner.

Beliau kemudian menasihatkan Tarrant untuk mengemukakan rayuan.

"Dia dihukum untuk tempoh lebih 25 tahun, hukuman yang tiada harapan dan itu tidak dibenarkan, ia mengatasi Akta Hak Asasi," kata Ellis.

Pada kejadian berkenaan, Tarrant yang bersenjatakan senjata api semiautomatik menyerang umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor sebelum ke satu lagi masjid di Linwood.

Dia turut melakukan penstriman langsung ketika membunuh mangsa termasuk warga tua, wanita dan kanak-kanak .

New Zealand tidak mempunyai hukuman mati dan ketika prosiding keputusan itu pada Ogos tahun lalu, Hakim Cameron Mander berkata, dia menjatuhkan hukuman paling berat atas perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

"Jenayah anda terlalu zalim, sehingga walau anda ditahan sehingga mati, hukuman dan hinaan masih tidak setimpal," katanya.

Ellis bagaimanapun tidak memberi komen ketika dihubungi oleh AFP, dengan mengatakan anak guamnya sudah mengarahkan supaya beliau hanya bercakap dengan media tempatan terpilih sahaja.

Selain itu, tiada maklum balas daripada Mahkamah Koroner.

Disiarkan pada: November 9, 2021 @ 7:01am
d