Asia

'Penghijrahan' ketam

Oleh Agensi

Perth: Jika dilihat dari jauh, ia umpama semut yang baru keluar dari sarang untuk mencari makanan.

Namun, sebenarnya ia adalah jutaan ketam merah yang melalui jalan raya dan jambatan di Pulau Krismas, pulau kecil di barat daya Australia.

Portal Independent melaporkan, pemandangan itu adalah suasana biasa ketika penghijrahan haiwan itu ke kawasan berhampiran lautan.

Situasi itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup jalan tertentu untuk 'memberi laluan' kepada perjalanan hidupan berkenaan.

Pulau Krismas menyaksikan penghijrahan setiap tahun semua populasi ketamnya, dianggarkan kira-kira 50 juta ekor.

Pemandangan memukau ketam yang memenuhi jalan dan taman yang luas menarik perhatian penduduk serta pengunjung.

Mereka berlumba-lumba mengambil gambar dan video kejadian terbabit.

Ketam itu memulakan perjalanan dari hutan selepas hujan pada Oktober dan November, sebelum bergerak ke lautan berhampiran taman negara, untuk mengawan dan bertelur.

Ia juga bergerak melalui kawasan kediaman dalam perjalanan yang dianggap sebagai salah satu penghijrahan terbesar di planet ini.

Dalam gambar dan video yang dikongsi oleh Parks Australia, pertubuhan yang menguruskan enam taman negara dan taman marin serta botani lain di negara itu, ketam merah boleh dilihat di pintu sebuah pejabat.

"Dengan penghijrahan ketam merah di Pulau Krismas, ketam muncul di mana-mana, termasuk di pintu pejabat.

"Kakitangan kami keluar menguruskan lalu lintas, mencari ketam di jalan raya dan memberikan maklumat terkini kepada komuniti mengenai penutupan jalan raya," katanya menerusi Twitter.

Pihak berkuasa menghabiskan masa berminggu-minggu untuk melancarkan penghijrahan itu kerana laluan disekat manakala pelawat diminta meletakkan kereta mereka dengan berhati-hati.

Ketam jantan mendahului dan sampai ke pantai terlebih dulu, diikuti betina, yang boleh menghasilkan ratusan ribu telur ketika musim mengawan.

Pasangan ketam akan tinggal bersama dalam satu lubang, selama dua minggu.

Masa penghijrahan bergantung kepada hujan dan fasa bulan.

Bagaimana, ketam tahu dengan tepat bila masanya hendak meninggalkan lubang.

Untuk tahun ini rombongan ketam berkenaan dijangka sampai ke kawasan pantai, pada akhir bulan ini.

Disiarkan pada: November 19, 2021 @ 6:00am
d