Asia

Budak 6 tahun kumpul lip balm terbanyak

Oleh Agensi

Taipei: Setiap orang mempunyai minat tersendiri termasuk mengumpul koleksi barangan tertentu dalam jumlah yang banyak.

Begitu juga dengan Scarlett Ashley Cheng, 6, yang mencipta rekod dunia sebagai pengumpul lip balm terbanyak.

Oddity Central melaporkan, kanak-kanak itu bersama kakaknya, Kaylyn, 8, memiliki koleksi 3,388 lip balm dan ia diiktiraf terbanyak di dunia.

Koleksi termasuk daripada pelbagai jenis, warna, tekstur dan bentuk, selain daripada pelbagai jenama terkenal seperti Burt's Bees, Eos, Humble serta Nivea.

Seperti kebanyakan kanak-kanak, Scarlett dan kakaknya menggunakan lip balm diberikan nenek mereka apabila mula mengalami bibir kering.

"Semuanya bermula dengan bibir kering semasa saya kecil. Ibu bapa dan nenek saya pernah meletakkan lip balm setiap hari untuk memastikan ia sentiasa lembap.

"Pada mulanya, ia hanya biasa tanpa sebarang perisa dan apabila saya semakin dewasa, saya mula mencuba perisa berbeza.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mengumpul lip balm menjadi hobi saya," katanya kepada Guinness World Records (GWR).

Mereka juga kreatif menghasilkan pelembap sendiri menggunakan bahan organik.

Daripada ribuan lip balm milik Scarlett, koleksi unik dimiliki antaranya berjenama Skittles, M&M dan Chuppa Chupps yang mempunyai bau serta rasa sedap seperti berperisa Coca Cola dan Fanta.

Pemegang rekod muda itu berkata, beberapa barangan dalam koleksi mengagumkan itu dihadiahkan rakan-rakannya yang tahu betapa dia sangat menggemari lip balm. - Agensi

Disiarkan pada: November 19, 2021 @ 6:01am
d