Asia

'Balas dendam' padam 20 fail penting syarikat

Oleh Agensi

Singapura: Lelaki yang dipecat dengan notis 24 jam selepas dia menghantar surat letak jawatan, bertindak memadam 20 fail penting daripada akaun Google Drive syarikatnya.

Susulan itu, Tan Wei Chiang, 30, didenda S$5,000 (RM15,474.36) oleh mahkamah hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

Menurut Channel News Asia, mahkamah dimaklumkan Tan berkhidmat sebagai pengurus pengeluaran di syarikat pengeluaran daging dan bertanggungjawab merancang jadual pengeluaran serta memeriksa kualiti produk.

Pada 4 Januari 2021, dia menghantar surat meletak jawatan yang tertakluk notis 30 hari seperti diperuntukkan di bawah perjanjian pekerjaan.

Bagaimanapun pada 12 Januari 2021, penyelianya menyerahkan surat pemecatan, memaklumkan perkhidmatan Tan ditamatkan dengan notis sehari mengambil kira prestasi kerjanya tidak memenuhi sasaran syarikat.

Menurut surat itu, Tan akan menerima gaji prorata pada akhir Januari 2021 dan dia menandatangani surat dan menerimanya.

Penyelia terbabit kemudian mengarahkan Tan untuk menyerahkan semua projek, akaun syarikat, dokumen dan maklumat berkaitan, namun ketika masih di pejabat, Tan didakwa mengakses Google Drive yang menyimpan fail syarikat.

Dia didakwa memindahkan 20 fail ke dalam 'Bin' dan kemudian memadamkan 16 daripadanya.

Penyelia wanita terbabit menghubungi Tan selepas gagal menemui 20 dokumen itu dan bertanya sama ada Tan sengaja memadamkannya.

Wanita itu juga meminta kakitangan teknologi maklumat syarikat untuk memeriksa log akaun Tan dan dimaklumkan lelaki itu memadamkan semua fail berkenaan pada hari kejadian.

Syarikat berjaya menyelamatkan 16 dokumen namun, gagal menemui empat lagi. Syarikat menolak gaji tertunggak Tan sebanyak S$1,500 (RM4,641.19) sebagai ganti rugi atas kejadian itu.

Dalam soal siasat, Tan memberitahu polis bahawa dokumen yang dipadamkan adalah miliknya.

Disiarkan pada: December 7, 2021 @ 5:13pm
d