Asia

Digigit memerang 26 kali dalam 10 saat

Oleh Agensi

Singapura: Seorang lelaki warga Britain berstatus penduduk tetap Singapura berdepan mimpi ngeri apabila diserang dan digigit kira-kira 20 memerang.

Kejadian berlaku minggu lalu ketika Graham George Spencer melakukan rutin berjalan setiap pagi di Kebun Bunga Singapura.

Mediacorp melaporkan, ketika itu, Spencer ternampak kelibat sekumpulan memerang ketika melakukan rutin berjalannya bersama seorang rakan.

Dia yang ketika itu sedang berjalan di laluan menuju ke pusat pengunjung, ternampak haiwan itu di laluan sebelah kanan, pada jarak sekitar 4.5 meter darinya.

Ketika menunggu memerang itu melintasinya, seorang pelari lain berlari menonong di laluan haiwan berkenaan menyebabkan mamalia itu 'terkejut' dan berubah 'ganas'.

Pelari yang bertanggungjawab membuat haiwan itu terperanjat berjaya meninggalkan lokasi dan menyebabkan ia menyerang Spencer yang masih berada di situ.

Katanya, kumpulan memerang itu 'memukul buku lali dan menolaknya ke lantai'.

Ia kemudian melompat ke atas Spencer dan mula menggigit kasut serta sekitar punggungnya selama kira-kira 10 hingga 12 saat.

Rakannya yang berada di belakangnya berlari ke arahnya untuk membantu dan menghalau kumpulan memerang itu.

"Saya digigit 26 kali dalam masa 10 saat. Jika bukan kerana rakan, saya mungkin sudah mati," katanya.

Spencer kemudiannya berjalan kaki ke jabatan kecemasan Hospital Gleneagles.

Dia diberikan suntikan tetanus dan antibiotik pada hari sama.

Dia juga sudah tiga kali berjumpa doktor untuk merawat lukanya.

Katanya, rawatannya menelan belanja sehingga SG$1,200 (kira-kira RM3,700).

Disiarkan pada: December 9, 2021 @ 7:24pm
d