Asia

Padah elak cukai

Oleh Agensi

Beijing: Selebriti internet China, Huang Wei atau lebih popular dengan panggilan Viya diperintah untuk membayar cukai dan denda berjumlah 1.34 bilion yuan (kira-kira RM886 juta).

Jumlah itu perlu dibayar kepada Perkhidmatan Cukai Wilayah Zhejiang, menurut Pentadbiran Percukaian Negeri (STA).

Ini adalah kali kedua penalti cukai dikenakan terhadap selebriti media sosial, sejak November lalu.

Kes Huang sama seperti yang berlaku terhadap Zhu Chenhui dan Lin Shanshan.

Pihak berkuasa percukaian mendapati laporan cukai Huang menunjukkan keuntungan yang diperolehnya hasil daripada perkongsian perniagaan di Shanghai.

Sebagai tambahan, Huang juga gagal mengisytiharkan pendapatan daripada perniagaan lain yang dijalankan, menurut kenyataan itu.

Huang juga mengelak daripada membayar cukai berjumlah 643 juta yuan (kira-kira RM425 juta) bersamaan 60 juta yuan (kira-kira RM39 juta) untuk cukai terkurang bayar.

Berdasarkan undang-undang Republik Rakyat China mengenai kutipan cukai, Huang akan didakwa dengan penalti 0.6 hingga empat kali ganda cukai yang perlu dibayar.

Kenyataan itu berkata, Huang sudah diberikan pengurangan penalti 78 peratus lebih rendah, daripada jumlah yang sepatutnya.

Hangzhou adalah bandar utama di timur Zhejiang yang menjadi ibu pejabat syarikat e-dagang terkemuka Alibaba.

Kerjasama antara aplikasi beli-belah dalam talian Taobao bersama Huang dan Li Jiaqi berjaya memperoleh pendapatan hasil jualan gincu menggunakan platform penstriman.

Pengumuman itu juga menyebabkan syarikat Huang dan Li turut diminta untuk mengisytiharkan cukai.

"Kami beroperasi secara jujur dan penstriman langsung adalah tugas yang kami jalankan selain semua operasi syarikat adalah normal," kata Mei One, syarikat utama Li kepada Chengsu Economic Daily.

Pada November lalu, dua pempengaruh, Zhu Chenhui yang dikenali sebagai Xueli Cherie dan Lin Shanshan didenda 93.2 juta yuan (kira-kira RM61.2 juta) atas kesalahan cukai.

Kedai elektronik (e-shop) milik mereka dalam aplikasi Taobao juga kini sudah ditutup.

Disiarkan pada: December 22, 2021 @ 6:30am
d