Asia

Tsunami: 17 tahun penuh makna buat Aceh

Oleh Agensi

Aceh: Tarikh hari ini iaitu 26 Disember 2021 genap 17 tahun Aceh bangkit dari kemusnahan akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang terjadi pada 2004.

Walaupun masih berdepan pandemik Covid-19, ramai pengunjung tetap melawat tapak tsunami di Banda Aceh.

Antara lokasi yang popular adalah Muzim Kapal di Atas Rumah

Kapal yang masih berada di atas sebuah rumah menjadi saksi betapa dahsyatnya kejadian yang berlaku pada 2004 itu.

Seorang mangsa, Fauziah, 53, mengimbas kembali pengalamannya berdepan saat mencemaskan itu.

Ketika itu, dia dan anaknya berusia lima bulan hanyut dibawa arus.

Kedua-duanya selamat selepas terdampar di atas rumah yang terdapat kapal di atasnya.

"Saat itu memang mengerikan. Saya berfikir ini adalah kiamat, tapi hingga petang saya menyedari saya masih hidup.

"Allah masih menolong saya. Di sekeliling saya begitu banyak mayat dan kemudian saya memeluk erat bayi saya dan Alhamdulillah bayi saya masih selamat," katanya kepada Kompas.

Bundiyah, 72, adalah pemilik kediaman berkenaan dan menjadi antara individu yang berada di kapal itu.

"Sebahagian rumah saya hancur dilanggar kapal nelayan yang sehingga kini masih ada di atas rumah saya.

"Terdapat 59 orang yang terselamat di atas kapal itu dan di sekeliling kapal saya dapat melihat ramai orang meninggal dunia dengan keadaan menyedihkan.

"Ketika itu saya sangka tanah pecah dan kami jatuh ke dalam tanah. Namun, selepas melihat keadaan sekeliling barulah saya sedar bahawa air laut yang naik mendadak," katanya.

Dalam kejadian 17 tahun lalu itu, pada jam 7.59 pagi, gempa bumi berkekuatan 9.1 skala richter - antara yang terkuat pernah tercatat - menghancurkan bawah laut di Lautan Hindi.

Ia mendorong kejadian tsunami yang sangat besar dan meragut 230,000 nyawa dalam tempoh beberapa jam.

Air setinggi 30.5 meter menghentam pesisir pantai hingga menyebabkan lebih 100,000 individu termasuk kanak-kanak di Aceh khususnya, gagal menyelamatkan diri.

Di Thailand, tsunami memukul pesisir Phang Nga dan Phuket satu setengah jam kemudian.

Sejam kemudian, ombak menyeberangi Lautan Hindi dan memukul pantai di tenggara India berhampiran Chennai, menyebabkan lebih 10,000 nyawa terkorban.

Ia turut menyebabkan kehancuran di Sri Lanka di mana lebih 30,000 orang maut dan ratusan ribu hilang tempat tinggal.

Kira-kira 16 jam selepas gempa bumi itu berlaku, tsunami turut dikesan di Afrika Selatan kira-kira 8,500 kilometer dari pusat gempa dengan ombak setinggi 1.5 meter memukul pesisir pantai.

Disiarkan pada: December 26, 2021 @ 6:33pm
d