Asia

Tugu Cristiano Ronaldo cetus kemarahan penduduk tempatan

Oleh AFP

Calangute, India: Tugu pemain bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo mencetuskan rasa tidak senang masyarakat setempat.

Ini kerana penduduk tempatan menuduh pihak berkuasa tidak sensitif kerana memberi penghormatan terhadap bintang sukan yang berasal dari negara yang pernah menjajah mereka.

Peserta protes dengan bendera hitam berhimpun di tapak tugu selepas ia dipamerkan minggu ini di bandar Calangute.

Mereka menunjukkan rasa marah kepada pihak berkuasa kerana mengenepikan bintang sukan India dan memilih bintang asing dari Portugal.

Micky Fernandes, bekas pemain antarabangsa India berasal dari Goa menyifatkan pemilihan Ronaldo sebagai sesuatu yang 'menyinggung'.

"Ronaldo adalah pemain terbaik dunia namun kita sepatutnya mendirikan tugu pemain bola sepak dari Goa," katanya.

Michael Lobo, menteri tempatan dari parti Bharatiya Janata berkata, pembinaan tugu itu bertujuan memberi inspirasi kepada golongan muda untuk berjaya di dalam negara dan peringkat antarabangsa.

"Kanak-kanak lelaki dan perempuan yang mahu menjadikan sukan bola sepak sebagai kerjaya pasti akan terinspirasi dengan kejayaan Ronaldo," katanya.

Sebahagian besar India mendapat kemerdekaan pada 1947 namun, Goa hanya mencapai kebebasan daripada pemerintahan Portugal pada 1961.

Kebanyakan individu di Goa memiliki nama keluarga Portugis.

Tidak seperti di sebahagian besar India, penduduk Goa memilih bola sepak berbanding kriket dan mereka menyokong Portugal dalam kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia.

Disiarkan pada: December 31, 2021 @ 5:33pm
d