Asia

Jepun perkenal kenderaan dua mod

Oleh Agensi

Tokyo: Jepun terus mencipta kemajuan menerusi ciptaan kenderaan dua mod (DMV) pertama di dunia yang boleh bergerak di atas jalan raya seperti bas dan di atas rel, ibarat kereta api.

Oddity Central melaporkan, gabungan kenderaan bercirikan bas dan kereta api yang unik itu diperkenalkan bulan lalu, di bandar Kaiyo, dekat wilayah Tokushima.

Kenderaan itu mungkin tidak menarik perhatian dengan reka bentuk, tetapi fungsinya akan membuatkan ramai terpegun.

DMV bergerak dengan tayar getah biasa di atas jalan, tetapi apabila beralih ke mod kereta api, ia beroperasi menggunakan roda logam di bahagian depan.

Tayar hadapan 'diangkat' dari landasan, manakala roda dengan tayar getah belakang kekal di bawah untuk menggerakkan kenderaan

Tempoh pertukaran daripada mod jalan raya dan kereta api mengambil masa kira-kira 15 saat sahaja.

"DMV ini boleh digunakan penduduk tempatan sebagai bas dan memberi mereka pengalaman menaiki kereta api juga.

"Kami menjangka ia menjadi satu bentuk pengangkutan awam yang sangat baik terutama di kawasan luar bandar yang mempunyai populasi semakin tua," Ketua Pegawai Eksekutif Asa Coast Railway, Shigeiki Miura.

Projek DMV mengambil masa sedekad untuk disiapkan.

Pihak berkuasa di Tokushima berharap ia bukan sahaja akan meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan, malah menarik minat pelancong yang ingin tahu untuk melihat kenderaan dua mod itu.

Kenderaan dua mod yang didatangkan dalam pelbagai warna itu berkuasa diesel dan boleh membawa sehingga 21 penumpang pada kelajuan 60 kilometer (km) sejam dalam mod kereta api, dan sehingga 100 km sejam jika berfungsi sebagai bas.

Shigeki Miura berkata, beliau yakin bahawa kenderaan unik itu dapat membantu penduduk di bandar kecil seperti Kaiyo yang mempunyai penduduk tua yang semakin ramai dan jumlah populasi yang berkurangan.

Pada masa akan datang, laluan DMV akan diperluaskan dengan meliputi sebahagian daripada pantai pulau Shikoku selain menghubungkan beberapa bandar.

Disiarkan pada: January 9, 2022 @ 6:50am
d