Asia

4,000 mohon untuk lawat Phuket, setiap hari

Oleh Agensi

Bangkok: Phuket kekal sebagai destinasi pelancongan popular dengan lebih 4,000 pemohon menghantar borang untuk memasuki pulau peranginan itu melalui sistem Pas Thailand, setiap hari, kata Persatuan Pelancongan Phuket (PTA) pada Selasa.

Presiden PTA, Bhummikitti Ruktaengam berkata, kebanyakan pemohon adalah dari Jerman, Rusia, Kazakhstan, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Perancis.

"Pada Selasa, PTA menerima 4,288 permohonan dan jumlah itu memberi isyarat tindakan balas terhadap Covid-19 berfungsi dan memberi keyakinan kepada pelancong," katanya.

Menurut Bhummikiti, rekod yang ada menunjukkan daripada kira-kira 70 ke 80 peratus pelancong yang disahkan positif Covid-19 yang tiba di pulau peranginan ini yang dijangkiti varian Omicron, 90 peratus kes hanya menunjukkan simptom ringan.

Katanya, pesakit boleh menginap di hotel, jika mampu mengasingkan diri di situ.

Bagaimanapun, hotel itu hendaklah memiliki sijil Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Plus daripada Kementerian Kesihatan Awam.

"Jika hotel tidak menyediakan bilik untuk mengasingkan pelancong yang dijangkiti, pengurus hotel akan berkoordinasi dengan pihak berkuasa untuk mencari kemudahan yang sesuai seperti hospital dan wad Pengasingan Komuniti Pengembara (TCI) yang baru ditubuhkan," katanya.

Sehingga kini, 126 daripada 480 hotel sudah mendaftar untuk skim pengasingan bilik hotel yang memperuntukkan sebahagian bilik khusus untuk menempatkan pelancong positif Covid-19 dengan gejala ringan.

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 9:41am
d