Asia

Dua anak Jokowi terpalit isu rasuah

Oleh Agensi

Jakarta: Dua anak lelaki Presiden Joko Widodo (Jokowi), iaitu Gibran Rakabuming dan Kaesang Pangarep menjadi perhatian pelbagai pihak di seluruh Indonesia selepas dilaporkan ke Komisi Pencegahan Rasuah (KPK).

Kompas melaporkan, laporan itu dibuat oleh pensyarah Universiti Negeri Jakarta (UNJ), Ubedilah Badrun berhubung dakwaan rasuah membabitkan dua anak Jokowi dengan kumpulan perniagaan yang terbabit dalam aktiviti pembakaran hutan.

Katanya, pada 2015, ada sebuah syarikat besar iaitu PT SM yang didakwa terbabit dengan kegiatan pembakaran hutan secara haram dan disaman oleh Kementerian Lingkungan Hidup dan Perhutanan sebanyak 7.9 trilion rupiah (RM2.31 bilion)

Namun, syarikat itu hanya perlu membayar saman sebanyak 78 bilion rupiah (RM22.9 juta) selepas diputuskan oleh mahkamah.

"Pada Februari 2019, dua anak Jokowi menggabungkan perniagaannya dengan perusahaan PT SM dan memperoleh suntikan dana yang besar sehingga mereka boleh membeli saham dalam syarikat masing-masing.

"Persoalannya, bagaimana anak muda yang baru menubuhkan syarikat dengan mudah mendapat dana modal dalam jumlah yang cukup besar iaitu kira-kira 99.3 bilion rupiah (RM29 juta) jika mereka bukan anak Presiden?," soal Ubedillah.

Sehubungan itu, beliau meminta KPK memanggil Jokowi untuk memberikan penjelasan berhubung hal terbabit.

Sementara itu, Tribunews melaporkan, Gibran yang juga wakil rakyat Kota Solo tidak gentar dengan laporan yang dibuat.

Dia juga mengakui sanggup berdepan segala kemungkinan sekiranya didapati bersalah.

Malah, katanya jika memang terbukti terbabit salah laku rasuah, dia mempersilakan pihak yang bertanggungjawab untuk menangkap dirinya.

Dalam pada itu, berikutan laporan berkenaan, Ketua Kakitangan Presiden, Moeldoko menjamin kerajaan akan melakukan tindakan lanjut.

Namun, ia meminta agar masyarakat tidak mudah memberikan penilaian negatif atas apa yang dimiliki kedua-dua anak Jokowi.

Ini kerana, katanya, kedua-dua anak Jokowi melakukan cara yang betul dalam perniagaan mereka dan memperoleh kekayaan secara sah.

"Jangan mudah memberikan tanggapan bahawa seolah-olah kedua-dua anak presiden terbabit perkara negatif.

"Anak pegawai kerajaan tidak boleh kaya? Anak pegawai kerajaan tidak boleh berusaha? Jadi bagaimana?," katanya.

Menurutnya, semua orang mempunyai hak sama rata untuk berusaha sama ada orang biasa atau anak pegawai kerajaan.

Disiarkan pada: January 13, 2022 @ 6:50pm
d