Asia

Serangan bersenjata ketika ujian kemasukan ke universiti [METROTV]

Oleh Reuters

Tokyo: Beberapa pelajar sekolah menengah yang menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti di Tokyo cedera, selepas ditikam dalam serangan bersenjata.

NHK melaporkan, tiga orang dilaporkan cedera apabila seorang pelajar lain menyerang mereka dengan pisau ketika berkumpul untuk mengambil peperiksaan kemasukan ke universiti.

Penyerang yang didakwa seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun ditahan atas tuduhan cubaan membunuh, kata NHK.

Seorang lelaki dan perempuan serta seorang lelaki berusia 70-an dibawa ke hospital selepas serangan itu, kira-kira jam 8.30 pagi, semalam.

Dianggarkan setengah juta pelajar sekolah menengah di seluruh Jepun sedang mengambil peperiksaan kemasukan universiti tahunan hujung minggu ini, di ratusan lokasi di seluruh negara.

Polis Metropolitan Tokyo mengesahkan mengenai kejadian itu dan tangkapan suspek tetapi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian berkenaan.

Jenayah kekerasan sangat jarang berlaku di Jepun tetapi terdapat beberapa serangan bersenjata oleh penyerang yang tidak diketahui mangsa.

Pada Oktober tahun lalu, seorang lelaki yang memakai kostum Joker menikam lebih 12 orang di atas gerabak kereta api di Tokyo menyebabkan penumpang menjerit di lorong gerabak kereta api dan berebut keluar dari tingkap untuk melarikan diri.

Beberapa bulan sebelum itu, seorang lelaki mencederakan beberapa orang dalam serangan pisau ke atas kereta api komuter Tokyo.

Disiarkan pada: January 15, 2022 @ 12:09pm
d