Asia

Filipina beli 32 Black Hawk

Oleh AFP

Manila: Filipina akan membeli 32 helikopter Black Hawk dengan nilai lebih $620 juta (RM2.6 bilion) bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara.

Setiausaha pertahanan, Delfin Lorenzana dalam catatan di Facebook berkata, ia adalah pembelian terbesar negara untuk menaik taraf aset ketenteraan.

Dalam beberapa dekad ini, Manila cuba memodenkan peralatan tentera yang meliputi helikopter era Perang Vietnam dan kapal dari Perang Dunia Kedua yang pernah digunakan Amerika Syarikat (AS).

Kumpulan pertama 32 helikopter S-70i Black Hawk daripada firma Poland yang dimiliki pengeluar barangan tentera AS, Lockheed Martin akan tiba tahun depan.

Pesawat berkenaan diperlukan untuk membantu misi kemanusiaan atau bencana, katanya.

"Kekurangan pengangkutan udara seperti kapal terbang dan helikopter menjadi masalah ketika pandemik dan pasca kejadian Taufan Odette," kata Lorenzana yang merujuk Odette sebagai Taufan Rai.

Bencana berkenaan meragut lebih 400 nyawa dan menyebabkan kemusnahan selepas ia berlaku pada Disember lalu.

"Ini diburukkan lagi dengan (helikopter) Huey kami yang semakin tua dan menjadi tidak ekonomik untuk dikekalkan," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2022 @ 5:51pm
d