Asia

Houthi serang tangki minyak, 3 maut di Abu Dhabi

Oleh AFP

Abu Dhabi: Serangan dron mengorbankan tiga individu selepas tangki simpanan minyak meletup di bandar ini, menurut pegawai kerajaan.

Kejadian itu berlaku selepas kumpulan pemberontak Yaman, Houthi mengumumkan akan melakukan 'operasi ketenteraan' di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kumpulan sama juga mengakui bertanggungjawab atas serangan itu dan memberi amaran akan menyerang lebih banyak lagi kemudahan.

Dua warga India dan seorang warga Pakistan maut dalam letupan yang berlaku di stor penyimpanan minyak Adnoc dengan api marak, sehingga kawasan pembinaan di lapangan terbang Abu Dhabi.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran mengumumkan 'operasi ketenteraan' di UAE, antara negara terbabit pakatan prokerajaan Yaman.

Kumpulan itu mengaku bertanggungjawab beberapa jam selepas kejadian sambil menambah akan menyasarkan beberapa tapak dan pemasangan yang penting dan sensitif di negara berkenaan.

Dalam pada itu, UAE dalam laporan berasingan menyatakan akan bertindak balas susulan serangan berkenaan.

Disiarkan pada: January 18, 2022 @ 10:05am
d