Asia

China nyah kuman bungkusan, surat antarabangsa

Oleh AFP

Beijing: Perkhidmatan pos di China mengarahkan pekerjanya untuk melakukan proses nyah kuman kepada semua bungkusan dan kiriman yang diterima dari luar negara.

Arahan itu dibuat bagi mengekang penularan Covid-19 yang mungkin dibawa masuk bersama bungkusan dan kiriman dari luar negara.

China negara pertama yang mengesan Covid-19 itu pada hujung 2019 mengenakan polisi ketat dengan menyasarkan sifar kes walaupun negara lain sudah membuka semula sempadan.

Negara itu kini sedang berdepan dengan beberapa penularan baharu termasuk di Beijing, yang dalam persiapan menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk.

Beberapa hari lalu, pegawai China mencadangkan ada individu yang mungkin dijangkiti daripada kiriman dari luar negara, termasuk seorang wanita di Beijing.

Pihak berkuasa berkata, wanita itu tidak mempunyai hubungan dengan orang lain yang dijangkiti tetapi diuji positif untuk varian yang sama seperti yang ditemui di Amerika Utara.

China Post pada Isnin melaporkan kenyataan arahan kepada pekerja untuk melakukan nyah kuman untuk semua kiriman dan barangan antarabangsa secepat mungkin.

Pekerja yang mengendalikan kiriman dan baramgan antarabangsa juga perlu mendapatkan suntikan dos penggalak.

Disiarkan pada: January 18, 2022 @ 3:18pm
d