Asia

Polis Israel 'intip' rakyat negara sendiri

Oleh AFP

Baitulmaqdis: Israel semalam melancarkan siasatan terhadap dakwaan polis menggunakan perisian pengintip Pegasus yang kontroversi ke atas rakyat negara itu.

Dalam surat yang dihantar kepada komander polis Koby Shabtai, Peguam Negara Avichai Mandelblit meminta untuk mendapatkan semua perintah pengambilan dan pengintipan komputer dari 2020 hingga tahun lalu untuk mengesahkan dakwaan yang dibuat dalam media.

Agensi akhbar perniagaan Israel, Calcalist melaporkan semalam, polis Israel menggunakan perisian Pegasus untuk mengintip warga Israel yang dianggap berpotensi sebagai ancaman dan mengumpul bukti untuk digunakan sebagai siasatan masa depan.

Menurut akhbar itu yang tidak memetik mana-mana sumber, tindakan polis itu disifatkan sebagai sesuatu yang bahaya kepada demokrasi.

Pesuruhjaya Polis Yaakov Shabtai, bertindak balas terhadap dakwaan itu berkata, polis tidak menemukan sebarang bukti untuk menyokong maklumat berkenaan.

"Polis Israel memerangi jenayah dengan semua kaedah undang-undang yang mereka gunakan," kata Shabtai dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Kementerian Kehakiman Israel menjanjikan siasatan penuh terhadap dakwaan bahawa perisian pengintip Pegasus digunakan ke atas warga Israel, termasuk individu yang mengetuai bantahan terhadap bekas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Pegasus, produk pengawasan dibuat firma Israel NSO, boleh menjadikan telefon mudah alih sebagai peranti pengintipan poket.

Ia menjadi punca kontroversi global berikutan pendedahannya tahun lalu dan digunakan untuk mengintip wartawan dan penentang di seluruh dunia.

Selepas dipasang dalam telefon mudah alih, Pegasus membenarkan akses kepada pemesejan dan data pengguna, serta pengaktifan jauh peranti untuk menangkap bunyi dan imej.

NSO menafikan ia menjual teknologi itu kepada polis Israel dan menekankan tidak mengendalikan sistem itu sebaik sahaja dijual kepada pelanggan kerajaannya dan tidak terbabit dalam apa-apa cara dalam operasi sistem.

"NSO menjual produk di bawah lesen dan peraturan kepada agensi perisikan dan penguatkuasaan undang-undang bagi mencegah keganasan dan jenayah di bawah perintah mahkamah serta undang-undang tempatan negara mereka," katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada AFP.

Kementerian Pertahanan Israel yang meluluskan semua eksport produk industri pertahanan buatan Israel, juga sudah membuka siasatan terhadap penjualan Pegasus di luar negara.

Disiarkan pada: January 21, 2022 @ 4:20pm
d