Asia

Daging buaya jadi alternatif

Oleh Agensi

Bangkok: Daging buaya mendapat permintaan tinggi di Thailand selepas harga daging khinzir melambung tinggi disebabkan kekurangan bekalan.

Harga daging babi yang menjadi makanan utama dalam diet rakyat Thailand, meningkat berikutan selesema babi Afrika yang melanda seluruh negara.

Kekurangan bekalan makanan itu dijangka berlarutan selama berbulan-bulan.

Penternak buaya, Wichai Rungtaweechai, 65, yang menternak 10,000 buaya di wilayah Nakhon Pathom berkata, situasi itu membuatkan dia tidak tahu bagaimana hendak memenuhi permintaan tinggi kerana sering dikunjungi pelanggan baharu hampir setiap hari.

"Sebelum ini, saya menjual kulit buaya untuk industri fesyen dengan sebahagian dagingnya dieksport untuk restoran makanan eksotik.

"Namun, kebelakangan ini ramai pembekal makanan dan restoran datang kepada saya mencari daging buaya untuk dibeli.

"Kini, jualan daging buaya saya meningkat kepada lebih 100 kilogram (kg) setiap hari berbanding hanya 20 kg pada minggu sebelum ini," katanya kepada South China Morning Post.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kesihatan, Dr Suwannachai Wattanayingcharoenchai berkata, daging buaya boleh menjadi sumber protein yang baik apabila daging babi mahal.

Namun katanya, orang ramai harus berwaspada kerana memakan daging mentah atau kurang masak tidak selamat dan membahayakan kesihatan.

Harga daging babi kini mencecah sekitar 200 baht (RM25.44) sekilogram berbanding daging buaya hanya 66.92 baht (RM8.51).

Untuk mengurangkan tekanan harga, Thailand menyekat eksport babi hidup, selama tiga bulan, pada 6 Januari lalu.

Pada 2021, Thailand menghasilkan 18 juta khinzir untuk pasaran domestik dan perdana menteri memberi jaminan ia mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Disiarkan pada: January 23, 2022 @ 2:58pm
d