Asia

Akaun WeChat PM Australia hilang, Tencent nafi ia digodam

Oleh AFP

Sydney: Akaun WeChat milik Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, hilang, sekali gus mencetuskan dakwaan itu ekoran campur tangan China.

Akaun media sosial kendalian China yang dilancarkan pada Februari 2019 dan dimiliki Morrison itu, sebaliknya digantikan dengan nama 'Kehidupan Baharu Australia China'.

WeChat ialah platform media sosial dan mesej paling dominan di China, memandangkan aplikasi yang dibangunkan negara Barat seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter disekat di Negara Tembok Besar itu.

Sehingga kini, tiada maklum balas langsung diutarakan Morrison berhubung perkara itu, namun seorang senator daripada parti pemerintah, Liberal Party mendakwa Beijing menjadi dalang di sebalik perubahan berkenaan.

"Apa yang dilakukan kerajaan China, dengan menutup akaun milik Perdana Menteri ialah suatu campur tangan luar dalam demokrasi kami," kata James Paterson kepada radio 2GB radio, hari ini.

Susulan itu, Paterson menggesa ahli politik Australia untuk memboikot WeChat sebagai tindak balas terhadap percaturan China.

Sementara itu, Tencent, gergasi teknologi China yang memiliki WeChat, menafikan akaun WeChat Morrison digodam atau dibuang dari platform berkenaan.

"Berdasarkan maklumat kami, ia mungkin ada kaitan dengan pemilikan akaun di mana akaun asal didaftarkan oleh seorang individu warga China dan kemudian dia beralih ke pengendali semasa, syarikat perkhidmatan teknologi," kata jurucakap Tencent.

Menurutnya, nama 'Kehidupan Baharu Australia China' didaftarkan oleh Fuzhou 985 Technology Co, Ltd pada Oktober 28, 2021.

Namun, akaun itu mempunyai sejarah hantaran pada 1 Februari 2019, termasuk yang pertama dibuat oleh Morrison - "Saya gembira membuka akaun WeChat rasmi saya".

Difahamkan, Morrison mempunyai akaun Weixin, yang peru didaftarkan oleh seseorang dari China, berbanding akaun WeChat yang boleh diakses oleh individu luar China.

Wakil guaman Fuzhou 985, Huang Aipeng memberitahu SBS bahawa pembelian akaun berkenaan adalah sah.

Disiarkan pada: January 24, 2022 @ 5:18pm
d